Search This Blog

Wednesday 9 September 2015

Kerjasama dengan PAS: Jelaskan kepada penyokong, kata Guan Eng kepada Azmin

Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng berkata, PKR perlu menjelaskan kepada penyokong mengenai keputusan untuk bekerjasama dengan PAS yang sebelum ini memutuskan hubungan dengan DAP. – Gambar fail
Timbalan Presiden PKR Mohamed Azmin Ali perlu menjelaskan kepada penyokong parti pembangkang mengapa pihaknya memutuskan untuk meneruskan kerjasama dengan PAS, kata Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng hari ini.

Katanya, Azmin dan PKR mungkin mempunyai alasan tersendiri berbuat demikian tetapi ia harus menerangkan kepada penyokong mereka mengenai keputusan untuk bekerjasama dengan parti Islam itu yang sebelum ini memutuskan hubungan dengan DAP.

"Azmin mempunyai sebabnya sendiri, tetapi walau apa pun sebabnya, beliau perlu menjelaskan kepada penyokong mengapa membuat keputusan untuk meneruskan kerjasama dengan PAS," kata Lim pada satu sidang media di pejabatnya di Pulau Pinang hari ini.


"DAP tidak akan bekerjasama dengan PAS kerana mereka sudah putuskan hubungan dengan DAP. Selepas itu, mereka juga berkata akan bertanding di kawasan yang dipegang DAP."
Azmin berkata semalam, PKR mahu PAS menjadi sebahagian daripada pakatan pembangkang baharu, walaupun ia menerima bantahan DAP dan Parti Amanah Negara (Amanah).

PKR katanya, membuat keputusan demikian selepas membincangkan perkara itu dengan teliti, sambil menambah, parti itu menerima sesiapa sahaja yang komited untuk pembaharuan, termasuk PAS.

Tetapi Lim yang juga ketua menteri Pulau Pinang berkata, PAS kini lebih merupakan seperti musuh kepada DAP, sambil menambah pendirian mereka jelas enggan bekerjasama dengan parti Islam itu.

"Bukan saja PAS kata ia akan bertanding di kawasan DAP, ia juga berkata akan menyertai perhimpunan baju merah 16 September nanti," katanya merujuk kepada satu perhimpunan Melayu yang dirancang di Kuala Lumpur.

"Mereka juga menyatakan kesanggupan mereka bekerjasama dengan (Perdana Menteri Datuk Seri) Najib Razak walaupun dengan adanya skandal kewangan 1MDB dan isu derma RM2.6 bilion itu.

"Tetapi, jika Azmin rasa PKR boleh bekerjasama dengan PAS di sebalik semua perkara ini, terpulang kepada beliau untuk menjelaskan kepada penyokong. Tetapi, pendirian DAP adalah jelas," kata Lim.

Bagaimanapun, beliau berkata perbincangan lanjut di antara semua pihak perlu dilakukan sebelum keputusan dicapai berhubung pakatan pembangkang yang baharu.

"Kami terbuka untuk berbincang kerana kami masih bersekutu dengan PKR. Pada masa depan, kita tetap perlu bincang perkara begini.

"Apa yang lebih penting ialah kepentingan rakyat dan negara. Kami konsisten dengan prinsip kami dan memenuhi amanah daripada pengundi," kata Lim.

Pakatan Rakyat (PR) diisytiharkan terkubur pada Jun selepas perwakilan muktamar PAS meluluskan usul memutuskan hubungan dengan DAP sambil terus kekal dalam gabungan itu.

Keputusan itu dibuat selepas DAP mengumumkan ia tidak lagi akan bekerjasama dengan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Kedua-dua parti juga sebelum ini sering berbalah mengenai hudud, undang-undang jenayah Islam yang mahu dilaksanakan di Kelantan seiring agenda PAS.

Azmin berkata semalam, pemimpin PKR, DAP dan PAS perlu duduk bersama dan membincangkan keadaan mereka, kerana tugas menyelamatkan negara dan ekonomi bergantung kepada kerjasama antara mereka.

Katanya, setiap parti harus mempunyai kerendahan hati untuk menerima pandangan daripada orang lain yang mempunyai matlamat sama. – 9 September, 2015.

No comments:

Post a Comment

  

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...